KATA-KATA ALUAN OLEH KETUA JABATAN GRAFIK PN RAJA MARINI.



Indah berbalam si pohon sutera
Tumbuh melata di pohon ara
Pemanis kalam selamat sejahtera
Awal Bismillah pembuka kata

Alhamdulillah dan syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada saya untuk terus menjalinkan hubungan persaudaraan dengan bekas-bekas pelajar Institut Kemahiran MARA  Sik yang amat saya kasihi sekalian. Sekaligus mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pengasas blog ini yang giat membangunkan laman seumpamanya bagi menyalurkan maklumat terkini untuk dikongsi bersama. Namun, harapan saya moga laman ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan perkara-perkara yang positif agar memberi faedah pada pengikutnya, InsyaAllah.

Sekadar berkongsi kegembiraan, sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar yang  telah berjaya menamatkan latihan di Institut Kemahiran MARA Sik. Saya amat memohon supaya kalian teruskan menuntut ilmu walau dalam apa jua bidang yang memberi kebaikan pada diri sendiri mahupun masyarakat sekeliling. Pastikan hidup anda adalah lebih baik dari semalam.  Sesungguhnya, hanya dengan ilmu sahajalah yang dapat memelihara diri serta mengangkat martabat seseorang itu ke tahap yang lebih baik, bak kata pepatah ‘Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api. ‘

Tidak lupa juga kepada semua wakil-wakil pelajar yang telah mencipta nama di peringkat kebangsaan. Pengorbanan anda amat dihargai kerana berjaya menaikkan imej Institut Kemahiran MARA Sik. Kemenangan ini merupakan hasil kerjasama dan komitmen kerja semua warga Institut Kemahiran MARA Sik yang berlandaskan moto ‘Kemahiran Memacu ke Arah Kejayaan’. Terbukti bahawa graduan Institut Kemahiran MARA juga berpeluang untuk berjaya setaraf dengan pusat IPTA mahupun IPTS lain sekiranya terus berusaha tanpa jemu. Moga pengalaman kejayaan pelajar-pelajar ini akan dijadikan contoh dan iktibar pada generasi pelajar baru kemudiannya.

Harapan dan doa saya, moga anda sentiasa bermuhasabah diri dan seterusnya melakukan perkara-perkara positif demi meningkatkan martabat sebagai seorang muslim yang diberkati Allah dunia dan akhirat. Rebutlah peluang yang ada, ibarat pepatah ada menyebut ‘Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan. Tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita.’ Renung-renungkanlah...
Sekian, Wassalam