Tuesday, January 25, 2011

IKM SIK KEARAH PERSIJILAN 5S

Kemeriahan 5S di IKM Sik semakin terserlah. Pelbagai imej, gaya, warna, bentuk dan suasana baru wujud hasil kerjasama kreatif setiap ahli-ahli zon. Setiap sudut dan ruang dimanfaatkan sepenuhnya demi 5S. Salah satu penjana semangat warga IKM Sik berhempas pulas menghangatkan suasana 5S di zon masing-masing adalah kerana bahang AUDIT.
Audit memainkan perana utama dalam memastikan Amalan 5S dijalankan dengan betul mengikut piawai yang ditetapkan oleh MPC (Malaysian Productivity Corporation). Maka dengan itu, Jawatankuasa Unit Audit 5S yang diketuai oleh Ustaz Adanan bin Hussin dengan giat telah menjalankan audit peringkat dalaman secara berperingkat untuk memastikan matlamat dan objektif 5S IKM Sik tercapai sepenuhnya.
Unit Audit 5S telah melakukan pemantauan audit yang pertama pada tanggal 1 September 2009 sehingga 8 September 2009 yang lalu. Ia disusuli dengan audit yang kedua iatu pada 1 Mac 2010 sehingga 25 Mac 2010. Memandangkan tarikh untuk pengiktirafan pensijilan 5S yang dijadualkan pada bulan Jun 2010 semakin hampir, maka Unit Audit berusaha menjalankan aktiviti pemantauan audit yang ketiga pada 27 April 2010 sehingga 29 April 2010. Dan yang terkini, dalam membuat persediaan untuk menerima kedatangan pegawai dari MPC iaitu En Mohd Suffian bin Ahmad, Unit Audit sekali lagi melakukan audit yang keempat pada 16 Mei 2010 sehingga 17 Mei 2010 yang lalu. Tujuan En Mohd Suffian dijemput hadir ke IKM Sik adalah sebagai ‘observer’ yang akan melihat serta memberi pandangan terhadap status Amalan 5S buat masa ini.
  
Seperti yang dijanjikan, maka pada 20 Mei 2010, En Mohd Suffian bin Ahmad telah berbesar hati meluangkan masa untuk meninjau kedudukan Amalan 5S di seluruh kampus IKM Sik ini. Langkah permulaan program lawatan dari MPC ini dimulakan dengan persembahan slaid Amalan 5S IKM Sik oleh En Hasrun bin Mohd Hassan selaku Koordinator 5S IKM Sik. Setelah melihat pegawai MPC telah mendapat gambaran awal mengenai Amalan 5S IKM Sik, kemudian lawatan diteruskan dengan membawa En Mohd Suffian bin Ahmad melawat beberapa zon untuk di beri pandangan penambah baikan. Ianya meliputi hampir keseluruhan zon. Sesungguhnya jelas terserlah kewibawaan En Mohd Suffian selaku pemantau 5S yang profesional dalam memberi komen yang membina. Sedikit sebanyak, setiap ahli zon dapat memperbaiki kelemahan dan kekurangan sedia ada.
Pengalaman sehari bersama pegawai MPC amat bermakna kepada setiap ahli Jawatankuasa 5S IKM Sik untuk mempergiatkan usaha dalam meneruskan serta memperbaiki kelemahan Amalan 5S ini. Amatlah diharapkan semoga cita-cita IKM Sik untuk mendapat persijilan 5S tercapai seperti yang telah dirancang supaya institusi ini dapat bergerak seiring dengan IPT lain menuju ke arah pusat latihan bertaraf dunia.

No comments:

Post a Comment